Solat hajat merupakan amalan yang sinonim dengan masyarakat kita.
Selalunya jikalau ada sesetengah perkara contohnya peperiksaan anak, solat
hajat selalunya didirikan dengan bacaan-bacaan tertentu untuk memohon
pertolongan Allah S.W.T di dalam sesuatu perkara ataupun selain daripada itu. Namun pernahkah kita menyemak semula,
adakah solat hajat itu dari amalan
Rasulullah S.A.W? Apakah baginda S.A.W dan para sahabat pernah mendirikan solat
hajat bagi memohon pertolongan Allah S.W.T? Adakah para
sahabat pernah mengamalkannya di kala kesusahan? Jikalau baginda S.A.W tidak
pernah mengamalkannya, maka apakah amalan yang baginda S.A.W dirikan bagi
memohon pertolongan Allah S.W.T semasa baginda mempunyai hajat ataupun ketika
ditimpa kesusahan? Apakah waktu-waktu yang baik untuk kita berdoa, agar amalan
kita selari dengan kaedah dan amalan yang telah dilakukan Nabi Muhammad S.A.W? Apakah
ada alternatif lain bagi kita untuk berdoa memohon hajat,
selain daripada mendirikan solat hajat?
Sesungguhnya amalan solat hajat itu
berasal dari hadis yang tidak berapa kuatsanadnya, atau dengan kata
lain, hadis yang dhaif. Adapun bagi mereka yang mengatakan amalan
solat hajat itu ada dalam amalan sunnah, dalam masa yang sama
mereka mengatakan bahawa:
1) Tidak boleh didirikan secara
berjemaah kerana bukan itu yang dilakukan di dalam hadis.
2) Tiada bacaan yang khusus di dalam
solat hajat, iaitu rakaat pertama sekian bacaannya, rakaat kedua sekian
bacaannya.
Berikut amalan, cara-cara dan
waktu-waktu yang mana insya-Allah, merupakan jalan yang baik untuk kita memohon
pertolongan Allah S.W.T. Segala apa yang ada di sini adalah hasil dari
pembacaan dan juga pengajian penulis di dalam bidang hadis, dan diambil dari
hadis-hadis yang sahih.
Waktu-waktu mustajabnya doa.
01.Satu pertiga malam
Iaitu di antara jam 3.30 pagi atau jam
4 pagi sehingga ke sebelum Subuh. Ini kerana, di dalam hadis Imam Muslim, Nabi
S.A.W bersabda, maksudnya:
Allah S.W.T turun dari Arasy-Nya ke
langit yang pertama, (iaitu langit dunia) di sepertiga malam, seraya bersabda
kepada para malaikat yang menjaga langit pertama, "Adakah di antara
hambaKu yang berdoa? Aku akan perkenankan. Adakah di antara hamba-Ku yang
memohon keampunan? Nescaya akan aku ampunkan dosanya". Maka sepertiga
malam, atau solat tahajud merupakan waktu yang sangat afdhal untuk kita berdoa
kepada Allah S.W.T.
02.Sewaktu hujan turun
Ketika ini, pintu rezeki dari langit
sedang terbuka luas.
03.Waktu di antara dua khutbah khatib pada solat Jumaat
Sepertimana yang telah kita sedia
amalkan di mana antara dua khutbah, imam akan membacakan doa dan selawat. Namun
adalah lebih afdhal andai di sini kita berdoa secara individu, sebagaimana yang
penulis lihat telah mula diamalkan di sesetengah masjid di kawasan Selangor.
Ini kerana setiap jemaah yang datang mempunyai hajat, keperluan dan doa yang
berlainan di antara satu sama lain.
04.Sewaktu membacakan syahadah akhir
setiap kali waktu solat
Oleh itu nabi Muhammad S.A.W telah
mengajarkan kita doa yang khusus untuk dibacakan di sini, yang akan penulis
garapkan di bawah.
05. Tempoh masa dari azan hingga iqamat, dan juga sewaktu bilal telah iqamat untuk solat, dan sewaktu masuk ke dalam saf.
06. Setiap sujud di dalam setiap
waktu solat
Nabi Muhammad S.A.W menyuruh kita
memanjangkan sujud kita andai kita mempunyai sebarang doa, dan baginda tidak
pernah mengkhususkan sujud mana yang perlu dipanjangkan sama ada sujud di
rakaat pertama, kedua, ketiga, atau keempat. Maka, kita boleh memanjangkan
mana-mana sujud untuk meluangkan masa berdoa kepada Allah S.W.T. Adapun jikalau
doa yang ingin dibacakan semasa sujud ini adalah di dalam bahasa selain bahasa
Arab, maka hendaklah dibacakan di dalam hati, kerana selain bahasa Arab akan
membatalkan solat. Itu merupakan kata-kata para ulama' fekah termasuk
As-Syafi'e rahimahullah.
07.Waktu dhuha
Waktu Dhuha ialah waktu setelah
berakhirnya masa tahrim (waktu yang diharamkan solat, dari selepas solat subuh
sehingga waktu:
1) Menurut Nabi Muhammad S.A.W,
bangunnya anak unta dari tidurnya atau
2) kata orang-orang tua kita, tinggi
matahari sudah mencapai dua galah iaitu lebih kurang sejam sebelum masuknya
solat Zohor.
Malahan di antara fadhilat solat Dhuha
ialah memurahkan rezeki. Insya-Allah...
Amalan-amalan yang memustajabkan doa.
01.Memperbanyakkan amalan-amalan yang sunat setelah kita sudah mencukupkan amalan-amalan yang wajib.
Adapun amalan-amalan sunat yang sunnah,
sila rujuk kepada artikel penulis "Mengejar Cinta Pemilik 'Arasy".
02.Memanjangkan sujud di dalam solat, dan berdoa di dalamnya sebagaimana yang penulis jelaskan di atas.
03.'Menebus' kembali amal baik yang
telah kita lakukan.
Seperti yang kita dapati di dalam surah
Ali-Imran, yang merupakan bacaan yang baik untuk solat Tahajjud, iaitu,
"Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada Iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti; Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji." [Ali-Imran 3:192-194]
Kita lihat di sini sebagai dalil,
bahawa boleh bagi kita setelah beramal baik, untuk kita menebus kembali (claim)
daripada Allah S.W.T agar memustajabkan doa kita. Hal ini juga telah
penulis bawakan di dalam kisah tiga orang sahabat yang terperangkap di dalam
gua.
04.Menghulurkan pertolongan.
Menolong orang lain, terutamanya mereka
yang dekat dengan kita seperti kaum keluarga dan sahabat handai. Ini kerana
sabda nabi S.A.W, "Andai kamu menolong saudara kamu, Allah akan
permudahkan bagi kamu urusan kamu".
05.Sabar.
Sabar dalam menghadapi ujian Allah
S.W.T. Doa orang yang bersabar sangat didengari Allah S.W.T.
No comments:
Post a Comment